Selasa, 08 November 2011

PANDUAN MENANAM JAMBU

1.  JAMBU SEMARANG (JAMBU MADU)
Antara jambu yang sedang meningkat popular ialah jambu air mawar atau jambu semarang (syzygium samarangense).  Dikalangan pengusaha, jambu ini dikenali sebagai "jambu madu".  Terdapat sekurang-kurangnya empat jenis jambu semarang yang telah dibawa masuk dari Indonesia dan Thailand.  Jambu semarang berasal dari Malaysia dan telah tersebar hingga ke Pulau Andaman.  Pada masa ini banyak yang ditanam di Indonesia, Thailand dan Taiwan.  Buahnya dimakan segar dan ternyata lebih bermutu daripada jambu air.
Ciri Pokok:
Pokok jambu semarang sederhana besar mencapai 12 m tinggi, bercabang rendah dengan sistem percabangan yang terbuka.  Kulit batang berwarna kemerahan dan tanggal menjadi kepingan-kepingan halus.  Daunnya licin di kedua-dua permukaan, berbentuk elips atau lanseolat.  Pangkal daun tirus sedikit, urat daun kira-kira 12 pasang, melengkung ke dalam iaaitu kira 0.6 cm dari tepi daun.  Daun bertangkai pendek, panjangnya hanya kira-kira 0.5 cm tetapi jelas.  Jambak bunga berbentuk sima, dikeluarkan di hujung dan di celah-celah ranting berdaun yang kecil dan melentuk.  Setiap jambak bunga mengandungi 3-6 kuntum bunga.  Bunganya berwarna putih atau berkrim pucat dan tidak berbau.
Buah jambu semarang berbentuk panjang tetapi lebar di hujung, berukuran 3-8 cm panjang dan 5 cm lebar.  Hujung buah berongga dan diliputi oleh empat cuping yang melengkung ke dalam.  Kulit buah nipis, licin, berkilat dan berwarna hijau muda atau putih tetapi ada juga yang berwarna merah.  Isinya berwarna kehijauan atau putih, agak kering dan rapuh.  Rasanya manis dan kadang-kadang kelat sedikit.  Jambu semarang tidak bermusim.  Bagaimanapun, puncak pengeluaran buah ialah dua kali setahun, iaitu pada bulan Mei-Julai dan bulan Ogos-September.
Pembajaan:
Jambu semarang tumbuh dengan cepat dan kerap berbuah.  Oleh itu, tanaman ini memerlukan pembajaan yang agak kerap dan teratur.  Baja diberi pada peringkat pertumbuhan tampang dan selepas buah dipetik.  Membaja sepanjang pembungaan dan pembentukan putik buah patut dielakkan.  Selain baja kimia, baja organik sama ada tahi ayam, tahi arnab atau tahi lembu sesuai digunakan.  Baja organik bukan sahaja membekalkan nutrien kepada pokok secara perlahan tetapi juga membaiki keadaan tanah.  Satu beg (20 kg) baja organik hanya diletakkan di pangkal pokok setiap 6 bulan.
Cantasan:
Pokok jambu semarang perlu dibentuk dengan mencantas.  Pada peringkat awal, cantasan dilakukan untuk membentuk kanopi yang seimbang, kukuh dan memudahkan buah dipetik.  Cantasan awal dibuat apabila beberapa cabang utama terbentuk hampir pada aras tanah.  Cabang-cabang dicantas hingga meninggalkan tiga cabang yang besar dan kukuh supaya memberi keseimbangan pada kanopi pokok.  Cantasan seterusnya hanya membuang tunas-tunas air yang tumbuh tegak pada dahan dan cabang kecil.  Ranting-ranting atau dahan berpenyakit juga perlu dibuang dari semasa ke semasa.
Rajah 1Rajah 2

Tidak ada komentar:

Posting Komentar